Thursday, October 29, 2009

Keperitan hidup menyebabkan pembunuhan.


Saya tidak tahu hendak bermula apabila terbaca mengenai seorang ibu Bahasniza binti Abu Bakar dari Kampong Kubang Berulat, Bachok, Kelantan ayng bertindak membunuh anak kecilnya hanya kerana anaknya tidak berhenti menangis. Anak kecil Mohamad Asyraf Noor Aswadi, 10 bulan itu hanya mampu diberikan teh kosong bagi mengisi perut yang telah lapar sejak beberapa hari. Tangisan yang tidak henti henti menyebabkan siibu bertindak membunuh anak sendiri. Diberitakan keluarga enam anak itu telah terputus bekalan makan sejak lima hari sebelum kejadian.

Kematian akibat dari keperitan dan kesengsaraan hidup. Sisuami menagih dadah, nenek tempat bergantung baru saja meninggal. Hilang pertimbangan akibat dari terlalu berat untuk ditanggung. Anak yang tidak berdosa jadi mangsa. Diberitakan juga siibu menghadapi tekanan mental selama ini. Saya rasa akibat dari kesengsaraan hidup juga.

Itulah kisah yang tersiar didada akhbar. Maknanya ianya dikesan. Kerana melibatkan pembunuhan mungkin. Kesengsaraan, keperitan dan kesusahan yang tidak dikesan, tidak dketahui dan tidak dipaparkan kepada umum mungkin lebih ramai. Beberapa ramai keluarga yang menghadapi masalah yang sama tidak kita ketahui kerana tidak dilaporkan. Mungkin ramai juga yang menghadapi tekanan mental (mental depression) yang sama tetapi mungkin tidak sampai ketahap sampai sanggup membunuh...susah payah yang tidak diketahui ramai...

Dari aspek saikologi, masalah seperti ini melibatkan sosial masyarakat. Akibat tekanan hidup manusia menjadi tidak tenteram. Kesusahan hidup menjadikan manusia hilang pertimbangan. Keperitan hidup boleh menyebabkan manusia hilang malu dan bertindak melulu. Manusia bertindak diluar batasan akal yang waras kerana sudah terdesak dan tidak ada jalan keluar. Ianya penyakit masyarakat. Dan ini adalah masalah masyarakat kita dewasa ini. Haruan makan anak, mat rempit, penagihan dadah, rogol dan bunuh sudah jadi bahan berita harian. Masalah masyarakat ditahap kritikal...dan menyedihkan...amat memilukan...

Dalam pada sekumpulan murid sekolah rendah seronok berkhemah...ada yang terbunuh akibat terjatuh dari jambatan gantung yang baru beberapa minggu siap dibina..dan ada keluarga yang masih belum menjamah nasi jauh sekali bergulai berempah. Dalam pada dua kumpulan pemimpin berebut menguasai kuasa negeri..ada keluarga yang bersekolah berbekalkan air sejuk...dan dalam pada pemimpin politik berebut kuasa dan berebut penyokong..ada lagi rupanya anak nelayan yang makan sekali sehari..dan dalam kesibukan manusia jatuh menjatuh demi kuasa dunia...ada lagi rakyat yang tinggal didalam van buruk dipinggir kota...ada lagi dan ada lagi...ramai lagi dan ramai lagi...

Saya berharap dan berdoa tidak akan ada lagi ibu membunuh anak untuk mengelak dari anak terus menangis kelaparan...saya berharap dan berdoa agar tidak akan ada lagi bekas perajurit yang tinggal didalam van buruk akibat ditinggalkan keluarga...saya berdoa dan terus mengharap...

Wednesday, October 28, 2009

Hampir sebulan berlalu....


Lebih dua minggu saya tidak mengisi ruangan ini. Bukan apa, kerana masa banyak tertumpu kepada tugasan harian yang terlalu rutin. Minggu pertama 9hb Oktober bersama dengan Tabung Darah Hospital Sultanah Bahiyah dalam program Kempen Menderma Darah di Pasaraya TESCO dan kemudian 23hb di Alor Setar Mall. Sambutan agak menggalakkan. Di Alor Setar Mall, usaha dan peranan ahli warga emas dari sebuah NGO di Kedah amat membanggakan.

Semasa di Kuala Lumpur semasa dua tiga hari di PWTC sempat juga bertemu rakan taulan dan beberapa orang seasoned bloggers. Aktibiti politik yang juga sudah terlalu rutin. Saya banyak jadi pemerhati saja. Peranan yang begitu terhad juga. Tengok tengok namun tidak pula geleng geleng..kadang kadang geleng geleng namun tidak juga angguk angguk...perhati dan terus perhati...mengharap dan terus mengharap...perubahan perlu didoktrin...old habits die hard..

Kelmarin 27hb saya menjadi tetamu MHI TV3 bersama Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, Pakar Perunding Pediatrik Hospital Kuala Lumpur dan adik Fatini binti Idris membicarakan masalah thalassaemia. Saya kagum dengan kegigihan Fatini yang menjalani rawatan sebagai pengidap thalassaemia sehingga boleh menjadikan beliau ikon kepada rakan dan keluarga thalassaemia dinegara ini. Fatini baru saja menamatkan pengajian didalam bidang pengurusan di MSU Selangor. Saya ucapkan terima kasih kepada Dr Hisham dan Fatini.

Petangnya saya dihubungi oleh Berita Minggu untuk mendapatkan ulasan terkini mengenai thalassaemia. Alhamdulillah..sudah semakin ramai yang mahu mengetahui mengenai thalassaemia. Kemunculan Fatini di MHI menunjukkan bahawa thalassaemia bukan lagi menjadi bahan stigma dikalangan masyarakat. Ianya hanya sejenis `blood disorder' dan pengidap boleh menjalani kehidupan seperti biasa jika dirawat mengikut kaedah yang ditetapkan.

Alhamdulillah..saya bersyukur kerana dapat bersama rakan rakan membantu walau pun masih banyak yang perlu dan boleh dilakukan. Peranan rakan rakan media banyak membantu. Media elektronik dan media cetak terlalu banyak membantu kearah usaha kesedaran ini. Terima kasih kepada Dato Johan Jaafar dari Media Prima dan Dato Ahmad Talib dari Kumpulan NSTP. Besar sumbangan tuan tuan sebenarnya.

Thursday, October 1, 2009

Sekitar Jamuan Hari Raya Lembaga Pelawat dan Pentadbiran Hospital Sultanah Bahiyah Bersama Media...Khamis 1 Oktober 2009








HI NI dan gelombang kedua..



Dalam Mesyuarat Lembaga Pelawat pada hari ini, keputusan dibuat untuk mengadakan road show disekitar bandar Alor Setar dalam usaha untuk menyedarkan masyarakat akan betapa bahayanya virus HI NI. Pengarah Hospital telah memberikan taklimat terperinci mengenai perkembangan HI NI dan mesyuarat telah bersetuju untuk menganjurkan program penerangan dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Kesihatan dipasaraya berikut.


Tarikh: 09.10.2009
Tempat: Pasaraya TESCO, Mergong.
Masa: 9.00 pagi hingga 5.00 petang


Tarikh: 23.10.2009
Tempat: Alor Setar Mall
Masa: 9.00 pagi hingga 5.00 petang


Disamping program penerangan mengenai HI NI, pihak Tabung Darah juga akan menjalankan kempen menderma darah dipremis yang sama. Orang ramai dijemput hadir.

Monday, September 28, 2009

Sepanjang Perjalanan...masalah air dan birokrasi




Saya dan isteri berhari raya dirumah anak di Kertih, Terengganu pada hari raya ketiga. Dua hari di Kertih, saya bersiar siar bersama cucu dibandar kecil Kertih yang terkenal dengan loji Petronas yang terbesar dinegara ini. Sempat juga singgah diMesra Mall yang menempatkan pasaraya Giant yang telah siap lebih setahun lalu. Pasaraya Giant yang sudah sedia untuk beroperasi masih belum dibuka kepada umum walaupun barangan jualan telah penuh tersedia. Agak sukar untuk menerima hakikat bahawa sebuah pasaraya yang begitu besar, telah siap sedia untuk beroperasi masih tertutup rapat dari pelanggan.

Ada dakwaan mengatakan pihak Kerajaan Negeri telah meletakkan syarat tertentu untuk Giant beroperasi. Ada pula yang mendakwa pejabat MB tidak bersetuju Giant dibina diKertih dan mahukan ianya beroprasi di Kijal kawasan Menteri Besar. Macam macam cerita timbul akibat dari kelewatan Giant memulakan operasinya. Dakwaan ianya melibatkan pejabat Menteri Besar juga dijaja disana sini terutama dikalangan masyarakat Kertih sendiri. Setahun adalah masa yang terlalu lama bagi sebuah pasaraya seperti Giant untuk mula beroperasi dan masyarakat Kertih sudah tentu membuat berbagai andaian yang berkemungkinan menjejaskan nama baik dan imej kerajaan negeri.

Pada saya apa pun sebabnya, adalah amat mengecewakan sebuah pasaraya yang bakal menjana kitaran ekonomi dan melonjakkan sektor kepenggunaan dibandar kecil Kertih itu menjadi mangsa birokrasi yang tidak business friendly itu. Pelabur akan melihat Kertih sebagai tidak mengalu alukan pelaburan sebesar Giant itu. Apa pun sebab dan dalilnya ianya mendedahkan pihak kepimpinan Kerajaan Negeri kepada sikap tidak bekerjasama dan dilihat arrogant yang boleh mencemar imej kepimpinan Kerajaan Negeri.

Dalam perjalanan pulang dari Kertih, saya singgah diRR Temerloh untuk makan tengahari. Seluruh kompleks RR disitu menghadapi masalah bekalan air. Saya bertanya kepada beberapa pembantu kedai dan pengguna dan mendapat jawapan bahawa bekalan air telah tergendala sejak pagi pada hari itu. Ada gerai yang menggunakan pinggan guna dan buang untuk pelanggan. Bilik air tertutup rapat. Adalah amat tidak munasabah dan mustahil bagi kawasan RR semoden itu dan dizaman ini bekalan air terputus sehingga lebih dari beberapa jam.

Sekembali di Alor Setar, masalah yang sama juga. Bekalan air dirumah juga hampir terputus. Air dari paip hanya mengalir untuk membasuh tangan tetapi tidak mampu untuk menampong air mandian dan membasuh. Beberapa buah kampong di Daerah Pokok Sena juga menghadapi masalah yang sama. Diberitakan hampir lima ribu pengguna terlibat. Anehnya dikawasan bandar Alor Setar juga terdapat beberapa kawasan yang menghadapi masalah bekalan air. Pihak JBA mendakwa bahawa ianya melibatkan masalah piping yang menyebabkan tahap pengaliran air menjadi rendah. Ada pula yang mendakwa bahawa kerana menjelang Hari Raya penggunaan air yang berlebihan menyebabkan bekalan menjadi hampir terputus. Agak aneh dan mengelirukan di tahun 2009!

Monday, September 21, 2009

Perjalanan Kehidupan Menjelang Eidul Fitri....



Beberapa hari dipenghujung ramadhan, pada 13hb, saya dan Pengarah Hospital Dr Idris Hj Ahmad, Ahli Lembaga Pelawat Hospital serta beberapa orang Matron mengiringi rombongan YB Dato Ahmad Bashah Md Hanifah, ADUN Bakar Bata mewakili UMNO Perhubungan Negeri Kedah menziarahi pesakit di Hospital Sultanah Bahiyah. Dato Bashah dan rombongan telah memberikan sumbangan duit raya dan kueh raya untuk pesakit disetiap wad di Hospital Sultanah Bahiyah.

Kemudian saya dan pentadbiran Hospital menerima rombongan dari Bank Rakyat Berhad dari Cawangan Utama di Alor Setar. Bank Rakyat juga menyumbangkan duit dan kueh raya untuk pesaki kanak kanak di Wad Pediatrik, Hospital Sultanah Bahiyah. Difahamkan Bank Rakyat menjalankan aktibiti ini disetiap hospital diseluruh negera pada hari tersebut. Suatu usaha murni yang amat membanggakan oleh sebuah institusi kewangan dinegara ini.

Pada 15hb pula, rombongan dari Persatuan Isteri Isteri Wakil Rakyat Negeri Kedah atau nama sengkatnya PIKAT telah melakukan lawatan dan memberikan sumbangan yang sama dihampir semua wad di Hospital Sultanah Bahiyah. Saya tidak sempat bersama kerana berada di luar daerah pada masa yang ditetapkan.

Selaku Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Bahiyah, saya amat berterima kasih dan terharu dengan sumbangan dari rombongan ini. Keprihatinan mereka amat dialu alukan dan usaha ini jelas menunjukkan bahawa kesengsaraan dan keperitan sesama manusia tidak mengenal pegangan politik dan taraf hidup sesama kita.

Walau pun hati amat sedih dan sayu melihat pesakit terutama kanak kanak yang menderita terutama dibulan yang mulia ini, namun dengan kedatangan rombongan ini sedikit sebanyak mengubat kesedihan dihati mereka terutama pesakit dan keluarga mereka. Saya amat memahami akan situasi ini. Saya mendampingi pesakit ini dengan penuh rasa keinsafan...

Pada malam menjelang Hari Raya, saya berkereta di bandar Alor Setar melihat aktibiti penduduk Alor Setar. Saya melihat kereta yang memenuhi jalanraya dipusat bandar yang menyebabkan kesesakan yang amat ketara, laungan penjual kueh mueh dan barangan keperluan Hari Raya di Pekan Rabu dan gerai gerai makan yang dipenuhi pelanggan. Situasi yang melambangkan betapa manusia begitu asyik dengan sambutan Eidul Fitri yang bakal menjelang tiba.

Saya melalui Lebuhraya Sultan Abdul Halim dan melintasi Masjid Zohir dimana disepanjang jalan dipenuhi dengan golongan fakir miskin yang menunggu untuk mendapat sepuluh dua dari orang orang yang akan membayar zakat fitrah. Mereka dudok diatas simen beratapkan langit bersama anak anak kecil yang tidur diriba menunggu belas kesihan dari pembayar zakat yang belum tentu dimana. Hujan dan panas sudah tidak jadi halangan bagi mereka. Anak anak kecil yang tidak mengerti akan kehidupan ini tetap setia berkhemah bersama keluarga mereka. Dari mana mereka datang tidak dapat dipastikan namun difahamkan ada diantaranya datang sejauh Baling dan Sik. Sedih, pilu dan menyayat hati...masih ramai rupanya manusia manusia yang masih tidak terbela dinegera tercinta...

Kepada rakan rakan bloggers, muslimin dan muslimat, saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Didoakan kita dapat menjalani kehidupan ini dengan penuh keinsafan dan ketaqwaan kepada Allah.

Friday, September 11, 2009

Peranan Malaysia Didalam Menangani Masalah Talasemia...



Saya menerima jemputan dari Presiden Persatuan Talasemia Cambodia, Encik Auntouch Seng untuk membentangkan kertas kerja bagi membincangkan kaedah menangani masalah talasemia di Cambodia. Salah satu dari topik yang bakal dititikberatkan ialah data pendaftaran pesakit dan keluarga pesakit (patients data registry) dan awareness campaign dikalangan rakyat Cambodia. Auntouch meminta beberapa nama pakar yang bolih membantu dan memohon tajaan dari Antarabangsa Persekutuan Thalassaemia - TIF. Saya mencadangkan agar Dr Robyn Devenish, sukarelawan dari Australia yang berkhidmat di Cambodian Paediatric Hospital, Prof Suthat Fucharun dari Thailand Thalassaemia Centre dan Prof Dr Elizaberth George dari UPM, Malaysia dijemput sekali menyertai dan memberikan input didalam program tersebut. Saya akan meminta TIF untuk meluluskan peruntukan tajaan bagi program ini.

Auntouch dalam emailnya menyatakan bahawa disamping negara negara seperti Cyprus, Greece, Italy dan Iran, Malaysia adalah diantara negara yang telah melaksanakan program bersepadu yang agak berjaya didalam usaha menangani masalah talasemia ini. Memandangkan kita sesama ahli dibawah rumpun Asean, Cambodia melihat Malaysialah yang paling sesuai untuk dijadikan negara rujukan. Saya bercadang untuk ke Phnom Penh selepas Hari Raya ini, insyaallah.

Sebelum ini Puan Fatemeh Hashimi Rafsanjani (anak mantan Presiden Rafsanjani) dari Iran menjemput saya untuk melawat dan memberikan ceramah di Pusat Talasemia Iran yang baru ditubuh diTeheran. Fatemeh adalah Presiden Centre For Cronic Disease di Iran. Saya memang bersedia untuk kesana pada tahun ini namun atas sebab sebab suasana politik yang tidak stabil di Teheran, saya menangguhkan lawatan tersebut. Dengan kemampuan kewangan dan resources yang ada, Fatemeh masih menganggap Malaysia sebagai sebuah negara yang punyai kaedah protokol pengurusan penyakit talasemia yang bolih dicontohi dan dilihat berjaya.

Indonesia melalui Presiden Pusat Talasemia Indonesia, Bapak Ruswandi juga telah berkali kali menjemput saya untuk datang ke Jakarta menghadiri program kempen kesedaran (public awareness campaign) dan majlis makan malam pada tahun ini. Tahun lalu saya telah dibawa melawat ke Hospital Dr Hassan Sadikin, di Bandung dan mengadakan dialog dengan pegawai perubatan, paramedic dan ahli Persatuan Talasemia Bandung. Saya bercadang untuk memenuhi jemputan Ruswandi pada bulan Disember ini.

Didalam komuniti talasemia dirantau ini, Malaysia kerapkali dilihat sebagai sebuah negara contoh dan bahan rujukan dalam usaha untuk mengurangkan jumlah pembawa genetik ini. Laos dan Vietnam adalah dua negara yang bakal saya lawati atas kapasiti saya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Persekutuan Talasemia Antarabangsa - TIF. Saya amat bangga apabila didalam mesyuarat TIF, Malaysia dijadikan negara rujukan dalam usaha menangani talasemia ini. Program Awareness dan Prevention of Thalassaemia yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan pada tahun 2006 dilihat sebagai satu usaha yang amat berkesan dirantau ini. Saya amat banggakan dengan pencapaian ini.